Thursday, August 26, 2010

Tarbiyyah Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM





Syukur kepada Allah SWT, Tuhan Penguasa Jagadraya. Selawat serta salam cinta khas buat insan yang mulia, Muhammad Bin Abdullah SAW. Pertamanya, kita merafakkan sekumtum kesyukuran atas nikmat yang berterusan diberikan kepada kita, hamba yang diciptakan tidak lain hanya untuk tunduk mengabdi pada yang Maha Kuasa.

Ikhwah wa Akhwat Rahimakumullah, tanpa disedari, kita telah melewati pertengahan bulan suci mulia, Ramadhan. Bagaimanakah prestasi buah iman ramadhan setakat ini? Adakah makin manis ranum isinya, atau masih kekal sama seperti benih, atau bahkan makin teruk dimakan ulat nafsu? Tabiyyah Ramadhan kita ketahui sepatutnya memberikan muntijah kearah ketakwaan, namun mengapa tanpa kita sedari, mungkin keimanan kita bahkan makin merundum? Nafsu amarah kita seperti sudah longgar kawalannya? Nikmat beribadah seperti kelat rasanya? Semangat yang membuak-buak ketika permulaan Ramadhan sudah makin hilang rentaknya? Sedangkan kita harus sedar, Ramadhan sebenar baru nak bermula!!!

Ikhwah dan Akhwat semoga diredhai Allah, pada waktu ini, bukan lagu raya yang sepatutnya dilaungkan di pembesar-pembesar suara. Bukan mercun-mercun yang dijadikan rentak irama malam-malam mendatang. Namun, persiapan menjelang malam-malam terakhir bulan ramadhan itu yang utama. Garaplah pengampunan Allah dengan menghidupkan malam-malam yang tersisa.

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa berdiri bersembahyang dalam bulan Ramadhan karena didorong keimanan dan keinginan memperoleh keridhaan Allah, maka diampunkanlah untuknya dosa-dosanya yang terdahulu."(Muttafaq'alaih)

Inilah janji Allah yang mampu diraih dengan syarat kita ikhlas mengejar reda dari-Nya, bukan kerana terpaksa atau sekadar ikut-ikutan. Kita hanya berbaki lebih kurang 4 hari untuk menyiapkan rentak ibadat kita pada tahapan optimum. Latihan-latihan(Practise) yang kita usahakan menjadikan kebiasaan (Habit) sebelum ianya menajadi Sikap (Attitude) perlu diusahakan dengan lebih maksima sebelum tiba pertandingan 'Qadar Hunt'. Jika bacaan quran kita hanya mampu 1 Juz / Hari, ayuh tingkatkan lagi bacaan. Jika Qiamullail hanya mampu dilakukan 1 Jam / Malam, ayuh praktiskan lagi sedaya upaya. Mutabaah hubungan dengan Allah kita tingkatkan lagi kualitinya. Sempadankan diri kita dengan benda-benda yang tiada manfaatnya, bukan waktunya untuk membuka semula wayang, majalah, komik, website yang mampu mengundang kepada terbuangnya masa berharga kita.

"Habit comes after practice before its becomes attitude"(Ibn Mawardi)

Kebiasaan akan lahir selepas kita melatih secara berterusan dan berulang-ulang yang akhirnya membuahkan sikap seseorang individu. Kebiasaan(Habit) dan sikap(Attitude) merupakan benda yang berbeza. Kebiasaan mampu makin hilang tatkala tidak dipraktikan, namun sikap, jika ditinggalkan akan membuatkan kita terasa ada kehilangan dalam diri kita. Jika kita hanya menjadikan tadarus sebagai kebiasaan dan bukannya sikap, ia akan mudah untuk menghilang. Namun jika kita jadikan tadarus quran sebagai sikap kita, ketika satu hari tidak membaca al-Quran, akan terasa satu kehilangan dalam hari tersebut.

Ikhwah dan AKhwat yang dipilih Allah, sedarkah kita, madrasah Ramadhan yang hanya sebulan bakal digunakan sebagai bekal pada 11 bulan kehadapan. Latihan-latihan dalam ramadhan sebenarnya untuk mentarbiyyah kita bagi kehidupan bulan-bulan seterusnya. Berapa ramai kita mampu lihat pada Ramadhan yang lalu, jika malam ramadhan dilatih dan dibiasakan hidupkan malam dengan solat sunat tarawih, namun selepas ramadhan tidak pernah sama sekali melakukan lagi solat sunat malam? jika Ramadhan kita dilatih dan dibiasakan menghidupkan tadarus-tadarus al-Quran, namun selepas ramadhan, ingin menyentuh al-Quran pun sekali-sekala? jika Ramadhan ia terjaga nafsu makan, minum, pandangan, pergaulan, dan sebagainya, namun selepas ramadhan, semuanya hilang sama sekali? Bukan ini yang kita mahukan hasil tarbiyyah dalam ramadhan. Namun, inilah terjadi ketika Madrasah Ramadhan tidak dioptimumkan bagi melahirkan sikap yang indah disisi Allah bahkan mampu menghapuskan dosa-dosa yang terlalu banyak kita lakukan.

"Shalat lima waktu, dari Jum'at yang satu ke Jum'at yang benkutnya,dari Ramadhan yang satu ke Ramadhan yang berikutnya itu dapat menjadi penghapus dosa-dosa antara jarak keduanya itu, jikalau dosa-dosa besar dijauhi." (Riwayat Muslim)

Ikhwah wa Akhwat semoga dibimbing Allah, Salah satu faktor utama lemahnya kita, walaupun kita sedari bahawa syaitan dirantai pada bulan Ramadhan (HR BUkhori Muslim), namun, tanpa kita sedari, syaitan dah mendakyahkan kita 11 bulan sebelum Ramadhan, melatih, membiasakan dan akhirnya melahirkan sikap kita yang akhirnya walau tanpa kehadiran syaitan sebagai pilotnya, kita mampu berada pada mode auto-pilot pada bulan Ramadhan. Hati yang telah dikotori dan dikeraskan akhirnya tidak mampu menjadi lapangan subur untuk menanam benih iman dah takwa.

"Iman susah nak disemayam dalam hati yang kotor" (Imam Al-Ghazali)

Dosa dan maksiat yang biasa kita lakukan dahulu juga salah satu atau salah dua penyumbang kepada gersangnya tanah kita untuk menanam benih iman dan takwa kerana dosa dan maksiat mampu mengeraskan hati kita.

"Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka." (Al-Muthaffifin, 83:14)

Ikhwah dan AKhwat semoga sentiasa dalam rahmat Allah, sedangkan makan dan minum sahaja dipuasakan dari kita, pancaindera kita jangan lupa puasanya. Puasakanlah pandangan, pendengaran, hati dan fikiran dari benda-benda yang tidak sepatutnya. Cukuplah melakukan perkara-perkara yang mampu mengotorkan hati contohnya. Makan terlalu banyak, tidur laksana dah mati, percakapan yang laser, fikiran yang selalu kotor dan sangkaan-sangkaan su'uzon, perlu kita buang sejauhnya. Nafsu memang lumrah akan mendorong melakukan kejahatan.

"Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang." (Yusuf, 12:53)

Oleh itu, mari kita persiapkan kualiti Iman dan Takwa kita untuk cabaran dan ujian yang bakal mendatang. Latihlah sikap kita dengan membiasakan berpuasa secara tsumul. Jangan jadi salah seorang yang melalui Ramadhan, namun hanya dapat lapar dan dahaga.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” 
(HR Bukhari)

Cukup indah kata-kata Umar Al-Khattab:

"Orang yang bergurau akan dipandang rendah. Orang yang banyak mengetahui sesuatu akan lebih dikenali. Orang yang banyak bercakap akan banyak melakukan kesalahan. Orang yang banyak melakukan kesalahan akan kurang sifat malunya. Orang yang kurang sifat malunya akan kurang sifat waraknya. Orang yang kurang sifat waraknya akan mati hatinya" (Umar Al-Khattab)

sesuai dengan Hadith Rasulullah SAW:

"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia berkata baik atau diam" (HR Bukhori Muslim)

Ikhwah wa Akhwat fillah, manfaatkanlah percakapan dengan membaca ayat-ayat peringatan dari Allah dalam bulan dimana turunnya al-Quran ini. Semoga sedikit perkongsian dalam kesempatan Nuzul Quran yang bakal tiba kali ini mengingatkan kita mengenai amal yang sepatutnya kita lakukan dalam tempoh Ramadhan yang singkat ini. InsyaAllah dalam kesempatan lain kita berkongsi mengenai keindahan lailatul qadr bagi menaikkan semangat kita beribadat pada Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. InsyaAllah. Wallahu'alam.

1 comment:

adilah said...

shukran atas peringatan..
semoga ramadhan yg kita laluin tahun ini memberi kesan yg baik kpada kita...