Tuesday, December 29, 2009

Apa Matlamatku??

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM





Sidang Pembaca Biiznillah,


Segala puji kita panjatkan kepada Allah s.w.t di atas segala nikmat yang tidak terkira banyaknya serta nikmat yang terus menerus menyapa kita walau kita sedikit sekali bersyukur kepada Yang Maha Pemberi Rezeki. Selawat dan salam kita kirimkan khusus buat seorang manusia mulia yang berkorban demi umatnya sehingga nikmat iman dan islam masih bertahan hingga ke hari ini. Bagindala junjungan contoh teladan dan ikutan kita semua, kekasih kita, sahabat kita serta saudara yang sentiasa kita rindui. Semoga kita menjadi umatnya yang beristimrar dalam mempertahankan dan menegakkan kalimah suci yang diperjuangkan.

Hari ini, negeri di bawah bayu riuh dengan sambutan 'Rumah Terbuka Krismas' yang dihadiri ribuan hamba-hamba Allah. Namun, bukan itu yang ingin saya ulas dikesempatan ini, sedikit masa saya yang terluang ingin saya kongsikan sesuatu yang semoga berguna buat kita bersama hasil ilmu dari sebuah program kepimpinan yang gempak dengan perjuangannya dalam menanam dan menyuburkan 1-Ihsan 6-Rukun Iman dan  5-Rukun Islam di hati manusia. Sedikit ilmu dari banyak ilmu yang diperolehi dalam training tersebut yang bersesuaian dengan tahun baru hijrah yang telah kita langkahi juga tahun baru masehi yang diguna secara universal yang bakal kunjung tiba. Suatu perkara yang sering dipacakkan tatkala menjelangnya tahun baru sebagai period atau tempoh untuk muhasabah hasil pada tahun yang baru dilalui serta tanaman pancang sebagai pembakar semangat dan penebus kekurangan pada tahun sudah tatkala menjelangnya tahun baru kelak.

Sidang Pembaca semoga kita dalam rahmat Yang Esa,

Secara jujur saya akui pembaca diluar sana pasti mempunyai ilmu yang lebih banyak dari saya, namun jika ada 10 ilmu di dada sidang pembaca, semoga bisa lagi ditambah 1 ilmu yang ingin saya kongsi bersama walau saya tahu sidang pembaca lebih layak dan lebih pintar menyampaikannya kerana ilmu yang saya sampaikan, saya sendiri masih jauh dari pengamalannya. Saya minta izin sedikit perkongsian ilmu kali ini terutama buat peringatan diri sendiri.

Perkongsian kali ini lebih ke arah motivasi dan matlamat diri bukan setakat buat waktu jangka masa yang singkat namun satu matlamat yang insyaAllah untuk jaga masa yang lama. Kita sering meletakkan matlamat kita dan berusaha mencapai matlmat yang diazamkan. Kegembiraan terserlah tatkala berjaya mencapainya namun kesedihan juga terpancar jika gagal mencapainya. Matlamat dalam mencapai kecemerlangan akademik, matlamat mencapai cita-cita, matlmat memperoleh kerjaya, matlamat mendapatkan jawatan tinggi, matlamat dalam berumahtangga serta pelbagai lagi matlamat yang ingin dicapai sehingga sanggup berusaha dan lakukan apa sahaja dalam langkah ke arahnya tanpa menghiraukan kawasan larangan atau kawasan selamat, kawasan halal atau kawasan haram. Sering terjadi seseorang hamba menipu dalam mencapai matlamat, rasuah dalam mencapai matlamat, menindas dalam mencapai matlamat atau corak langkah kotor yang lain samada dalam konsep pelajaran, kerjaya, keluarga, masyarakat, negara serta umat sejagat seluruhnya.

Sidang pembaca semoga kita diberkati Allah,

Marilah dikesempatan tempoh anjakan di tahun yang baru kita menanam satu tekad dalam matlamat yang berwawasan jauh dalam rangka membina jalan yang selari ke arah yang lurus sehingga akhir hayat kita. Matlamat yang saling berkaitan antara satu tempoh dengan tempoh yang lain agar terus saling mengukuhkan bagi menjaga kita menjerumus ke arah kebatilan. Rangkaan matlamat yang ingin dikongsi lebih ke arah tiga jangka waktu yang saling menguatkan bermuala dari 'matlamat jangka pendek', 'matlamat jangka pertengahan' dan 'matlamat jangka panjang'. Mari kita huraikan satu persatu.

Kita mulakan dengan matlamat yang paling penting bagi diri kita iaitu matlamat jangka panjang. Mari kita bangunkan semula umat yang jauh berwawasan yang berpandangan jauh dan luas serta sentiasa tidak berada di satu kotak yang kecil. Mari bersama kita tanamkan dalam jiwa dan hati kita satu matlamat jangka panjang kita iaitu dapat melihat wajah pencipta kita, Allah s.w.t di syurga yang dijanjikan. Matlamat jangka panjang yang ingin bahagia di alam yang kekal abadi, akhirat yang pasti melalui alam barzakh yang kita tanamkan matlamat ingin disapa dengan keindahan tatkala malam pertama di kuburan kita kelak. Siapa antara kita yang mahukan siksa yang pedih tatkala melangkah di alam seterusnya, yang sengsara tatkala ditinggalkan sendirian di liag lahad masing-masing, kesengsaraan yang merupakan permulaan sebelum pengumpulan di padang mahsyar, sebelum dicampakkan ke dalam neraka yang maha dahsyat siksanya bagi kita yang menzalimi diri sendiri dengan dosa dan maksiat. Tepuk dada, tanyalah iman.

"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.."(QS 28:77)

Itulah matlamat jangka panjang kita yang bakal kita lalui pada bila-bila masa, matlamat yang bakal memandu matlamat hidup kita dari tersasar dari landasan yang diredhai Allah. Saya pasti matlamat jangka panjang kita tidak jauh berbeza melainkan ada yang meletakkan matlamat jangka panjangnya ingin bahagia di neraka. Semoga kita dah sedar akan matlamat jangka panjang yang ingin kita capai kelak.

Sidang pembaca semoga kita diampuni Allah,

Setelah mengetahui matlamat jangka panjang yang abadi, kita orak matlamat jangka pertengahan kita dalam menghidupkan kejayaan yang didasari dengan petunjuk Illahi seperti dalam laungan adzan 'hayya 'ala falah' yang kurang kita hayati sebagai pembakar semangat kita. Matlamat jangka pertengahan kita yang ingin membina sebuah tamadun umat yang diberkati Allah, tamadun yang mengagungkan kalimah toyyibah, kalimah yang meletakkan Allah diatas segalanya. Kita ingin kembalikan kegemilangan satu umat yang menguasai dunia dengan kepakaran, kemajuan dan  keilmuan yang tinggi. Kita mulakan dari sekarang dengan perbaiki diri sendiri dahulu, bimbing dan jaga keluarga yang disayangi, bina suasana keimanan di hati masyarakat dengan bimbingan yang berhikmah baru kita mantapkan ukhwah dan memperkasa umat sejagat. Ketahuilah kita semua adalah penyumbang saham yang memandu masa hadapan. Kita adalah satu umat yang memasuki sebuah kapal yang sama, masing-masing antara kita ada tempat dan posisinya masing-masing, jika salah seorang dari kita merosakkan atau melubangkan walaupun tempat sendiri dengan sebuah kapak kerana merasakan itu adalah tempatnya sendiri yang dia boleh perbuat semahunya, ketahuilah saudara semua, jika kita biarkan maka ketahuilah ia akan binasa, dan kita semua akan turut binasa, namun jika kita sambut tangannya dan menghalang dari perlakuannya, nescaya kita semua selamat dalam sebuah kapal milik kita bersama.

Marilah kita ada menyumbang walau sedikit dalam proses mencapai matlamat jangka pertengahan kita walaupun perbaikan dalam diri sendiri. Mungkin kita tidak sempat melihat kejayaan matlamat pertengahan kita, tetapi minima kita ada menyumbang ke arahnya yang bakal meminpin kita mencapai matlamat jangkat panjang kita khususnya. InsyaAllah biiznillah.

Sidang Pembaca semoga kita dibimbing Allah,

Sudah pasti kita ketahui keseimbangan yang diajarkan kepada kita bagi kehidupan di dunia dan akhirat. Matlamat terakhir yang ingin dikupas adalah matlamat jangka pendek kita. Bagi pelajar, tanamkan matlamat ingin mencari kejayaan dan kecemerlangan dalam berjihad menuntut ilmu, terutama buat diri saya sendiri yang masih jauh kejahilan akan dunia seorang pelajar. Tapi yang pasti, kita pacakkan matlamat kita yang tidak akan melanggar matlamat jangka masa kita yang lain. Siapa mahu kita cemerlang dalam akademik kita tapi akhlak kita penuh dengan kekotoran yang sering menyakitkan hati orang lain, yang sering melakukan maksiat di hadapan Allah yang Maha Melihat, yang pasti melanggar matlamat jangka panjang kita di akhirat kelak. Tatkala kita mahu menipu dalam peperikasaan bagi mencapai matlamat jangka pendek kita, kita teringat akan jangka panjang kita yang tidak boleh kita lari dari sasaran.

Begitu juga bagi yang sudah bekerjaya, sudah pasti matlamat tinggi dengan jawatan yang besar, gaji yang besar, syarikat yang besar, suami/isteri yang '     ', dan sebagainya, namun ketahuilah, kita sedar ia keperluan bagi kita dalam mencapai 2 matlamat jangka pendek dan pertengahan kita namun yang pasti didasari dengan matlamat jangka panjang kita. InsyaAllah sudah tidak akan ada lagi timbul perkara-perkara yang negatf yang sering hangat diperkatakan samada rasuah, riba, menipu dan sebagainya kerana kita gusar ia akan menggugat pencapaian matlamat jangka panjang kita. Namun yang pasti, mari kita hidupkan umat yang rajin berusaha dan terus bersemangat serta ikhlas dan bahagia dalam kerjaya kita. Jika matlamat pendek kita kurang pencapaiannya, namun kita tetap bahagia kerana usaha kita masih didasari dengan redha Yang Maha Kuasa maka hapuslah istilah kecewa dalam kamus harian kita kerana kebahagian yang sentiasa kira rasakan.

"Tidak pernah seseorang yang memakan makanan itu lebih baik daripada makan daripada pekerjaan tangannya sendiri (hasil usaha sendiri). Sesungguhnya Nabiyullah Dawud a.s makan hasil uasaha tangannya" (HR Bukhori)

"Sesungguhnya Allah Ta'ala suka melihat hamba-Nya yang letih dalam mencari barang halal"
(HR Ad-Dailami)

Begitu juga bagi matlamat bagi yang bekeluarga atau yang belum bekeluarga namun menanam tekad untuk bekeluarga, sudah pasti ingin membina keluarga sakinah, keluarga yang mampu berkekalan hingga akhir hayat dan mampu berjumpa di tempat yang bahagia di akhirat kelak. Marilah kita tanamkan matlamat ingin menjaga keluarga kita dari api neraka, membimbing keluarga agar mencintai Allah dan RasulNya, membimbing keluarga yang tahu yang haq dan yang batil agar terpancar sinar kebahagian yang sebenar dalam keluarga kita. Bagi si suami yang turun mencari nafkah buat keluarga, ikhlas dan berbahagialah dengan usahamu.

"Sesungguhnya Allah mencitai hamba-Nya yang bekerja, dan barangsiapa yang bersusah payah untuk keluarganya maka ia seperti orang yang berjuang di jalan Allah Azza Wajalla' (HR Ahmad)

Bagi si isteri, jadilah penyumbang kearah matlamat kebahagian kerana pertama ikhlaskan pernikahanmu dengan niat menjaga kesucianmu kerana salah satu perkara yang Allah bersedia menolong adalah orang yang kahwin dengan niat menjaga kesucian dirinya(HR At-Tirmizi, Ibnu Hibban dan Al-Hakim) dan salah satu dari 4 perkara yang ia telah dikurniakan kebajikan di dunia dan di akhirat adalah isteri yang tidak ingin berbuat derhaka terhadap dirinya sendiri dan terhadap harta suaminya (HR Al-Thabrani). Matlamat kebahagiaan keluarga akan terserlah dengan suci dari pergaduhan, bersangka buruk dan sebagainya kerana sedar akan peranan masing-masing yang telah dilandasi dengan matlamat yang lebih jauh.

Sidang Pembaca yang semoga disatukan hati kita,

Marilah kita tanamkan matlamat sedalamnya yang membekas di jiwa kita dan terus berusaha sebaik mungkin dalam mencapainya dengan syarat matlamat kesemua jangka harus selari dalam landasan yang sama yang saling menguatkan dan menjaga dari terpesong dari sepatutnya. Semoga Allah membantu dan memberi kekuatan kepada kita dalam menanamkan matlamat yang sebenar dan seterusnya membimbing kita mencapai matlamat yang diimpikan dengan gahnya..Amin Ya Rabbal 'Alamin..

Alhamdulillah..Syukran Ya Rashid, Ya Hadid, Ya Ba'its, Ya Rahman wa Ya Rahim..

2 comments:

Anonymous said...

Salam...

very useful piece..insya Allah akan akak sampaikan walau sepotong ayat dalam sesi motivasi akan datang..semoga diberkati..semoga adik fakhrullah menjadi Salman Al Farisi zaman moden ini..amin

Kak Taj

Fakhrullah Bin Mawardi said...

amin Ya Mujib..syukran atas dorongan yang membina ya kak..=)